Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai tanpa mengira pangkat atau kedudukan yang menyalahgunakan kuasa untuk tujuan kepentingan peribadi.
Ia susulan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 49 pegawai agensi itu kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket yang membawa masuk warga asing menerusi modus operandi ‘counter setting’.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, agensi itu akan meneliti dan melaksanakan reformasi proses kerja serta penyampaian perkhidmatan secara menyeluruh dengan mengambil kira teguran yang dibuat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
“JIM mengambil maklum berhubung 11 kelemahan utama yang membuka ruang kepada sindiket membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi mengatur (setting) kaunter.
“Tiada kompromi terhadap mana-mana pegawai tanpa mengira pangkat atau kedudukan yang didapati menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi sehingga melanggar undang-undang negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Semalam, Azam menyenaraikan 11 kelemahan yang merupakan punca utama kelonggaran dalam aspek kawalan dalaman ketika bertugas sehingga menyebabkan pegawai imigresen mudah didekati ejen sindiket.
Azam mengesahkan pihaknya telah menahan 60 individu termasuk 50 pegawai agensi penguatkuasa yang disyaki terlibat dalam kegiatan ‘counter setting’ di pintu masuk negara menerusi Op Pump, Op Pump 2.0 dan Op Setting yang dijalankan sejak 20 Ogos lepas.
Susulan itu, Imigresen komited untuk memberi kerjasama penuh kepada SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penahanan pegawainya.
“JIM tidak akan berkompromi dalam menjamin keselamatan pintu masuk negara sentiasa terpelihara,” katanya.








