Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Akta Kanak-Kanak di Malaysia sebenarnya sudah mencukupi untuk melindungi golongan tersebut daripada sebarang bentuk penganiayaan atau eksploitasi.
Penasihat Mahkamah Kanak-Kanak Kuala Lumpur, Jameyah Sheriff berkata isu penganiayaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) akan ditangani oleh pihak berkuasa dengan cermat.
“Akta Kanak-Kanak yang ada di Malaysia ini memang cukup untuk lindungi kanak-kanak di negara kita,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Selasa.
Dengan adanya undang-undang dan prosedur yang jelas, Jameyah yang juga aktivis kanak-kanak berkata pemeriksaan fizikal dan mental perlu dijalankan bagi memastikan mereka benar-benar selamat dan tidak mengalami trauma akibat penganiayaan.
“Apabila kita jumpa kanak-kanak, perkara pertama adalah memastikan mereka mendapat rawatan jika ada masalah kesihatan, sama ada mental atau fizikal,” ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa rumah perlindungan kanak-kanak, sama ada dikendalikan oleh kerajaan, swasta, atau badan bukan kerajaan (NGO), perlu mematuhi peraturan di bawah Akta Pusat Jagaan.
“Ini termasuk memastikan pusat-pusat tersebut berdaftar serta pekerja-pekerjanya terlatih dan mempunyai permit tertentu.
“Walaupun mereka berada di rumah anak yatim atau di mana-mana institusi, pusat tersebut mestilah didaftarkan. Itu yang penting,” jelasnya.
“Pihak JKM mempunyai peranan penting mengikut akta untuk melindungi kanak-kanak ini. Mereka tidak boleh diserahkan begitu sahaja kepada keluarga tanpa melalui proses yang ketat,” katanya.
Terdahulu, menerusi Op Global, pihak polis telah menyelamatkan ratusan kanak-kanak daripada rumah perlindungan yang dikendalikan GISBH.
Sementara itu, beberapa kes melibatkan ahli GISBH turut didakwa di Mahkamah dan masih dalam perbicaraan.