Mahathir Akui Kerajaan Pimpinan Anwar Kini Kuat

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kuat dengan sokongan dua pertiga wakil rakyat termasuk dari Sabah dan Sarawak.

“Apabila gabungan ini mendirikan kerajaan, maka parti-parti Sarawak dan Sabah pun menyertai gabungan.

“Jumlah Pakatan Harapan (PH), UMNO, Sarawak dan Sabah ialah 144 menjadikan kerajaan memiliki lebih dari dua pertiga wakil rakyat. Memang kuat sekarang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Bagaimanapun, beliau mengulas bahawa dalam gabungan tersebut, DAP adalah parti yang terkuat kerana memiliki 40 kerusi sekali gus membuatkan Anwar terpaksa melayani tuntutan DAP jika ingin kekal sebagai Perdana Menteri (PM).

Malah, katanya lagi, gabungan ini juga tidak disenangi UMNO sebagai wakil rakyat Melayu.

“Jika UMNO tidak sokong gabungan, Sarawak juga tidak akan sokong.

“Jika UMNO dan Sarawak tidak sokong kerajaan akan jatuh. Oleh itu mulut orang Melayu perlu ditutup. Dengan itu diperkenal 3R (agama, bangsa dan institusi raja-raja) dan kemudian Memorandum Persefahaman (MoU),” katanya.

Mengulas lanjut mengenai MoU, Mahathir menasihatkan agar gabungan pembangkang tidak menandatanganinya.

“Wakil rakyat pembangkang jangan tandatangan MoU,” kata Mahathir.

Media sebelum ini melaporkan Perikatan Nasional (PN) sebulat suara menolak dua draf cadangan MoU berkaitan peruntukan pembangkang daripada kerajaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keputusan menolak dua draf cadangan MoU kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan nilai budaya, moral serta agama, selain boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa, serta mengongkong kebebasan.

Sementara itu, Mahathir berkata, gabungan yang diterajui Anwar bukanlah kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Tambah beliau, penubuhan Kerajaan Perpaduan antara PH dan Barisan Nasional (BN) hanyalah berasaskan kepada kepentingan diri.

“Sebelum pilihan raya UMNO dakwa tidak akan terima Anwar dan DAP. PKR, DAP dan AMANAH pula tidak akan terima UMNO.

“Tetapi kerana pemimpin UMNO mungkin dipenjara dan pemimpin PH tidak mungkin jadi PM, maka parti-parti yang ditolak oleh rakyat ini bergabung untuk jadi kerajaan.

“Apabila gabungan ini diri kerajaan maka parti-parti Sarawak dan Sabah pun menyertai gabungan,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat