Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober ini disasarkan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan memajukan pembangunan negara.
Malah, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Belanjawan 2025 itu juga dijanjikan lebih gah serta saksama.
“Insya-Allah, dengan pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober ini, Malaysia akan mara satu langkah lagi menuju wawasan kerangka Ekonomi MADANI yang gah lagi saksama.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua warga kerajaan yang bertungkus-lumus menyiapkan belanjawan yang terangkum untuk meningkatkan darjat rakyat dan pembangunan negara,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.
Dalam hantaran itu, Anwar berkongsi beliau meninjau persiapan kakitangan Kementerian Kewangan (MOF) menyiapkan belanjawan yang akan datang dibentangkan nanti.
Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Belanjawan 2025 mengetengahkan tema Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera akan dipacu oleh pendekatan Ekonomi Madani.