Siti Saleha Menang Bintang Asia Terbaik

PELAKON wanita popular, Siti Saleha Mohd Baharum, 34, dinobatkan sebagai Bintang Asia Terbaik pada Majlis Anugerah Drama Antarabangsa Seoul 2024 pada Rabu.

Lakonan mantapnya dalam drama bersiri ‘SeOfis’ telah memikat hati penonton, sekali gus menjadikannya salah seorang calon pilihan utama dalam anugerah yang berlangsung di Yeouido KBS Hall, Seoul, Korea Selatan.

Menurutnya, kemenangan itu bukan sahaja momen manis buat dirinya malah menjadi satu pencapaian yang bermakna untuk negara.

“Anugerah ini adalah milik kita Malaysia,” katanya ringkas dalam satu hantaran di Instagram.

Sementera itu, rata-rata netizen di ruangan komen dan rakan selebriti mengucapkan tahniah atas pencapaian yang membanggakan nama negara di persada antarabangsa itu.

Untuk rekod, drama berjudul SeOfis lakonan Saleha telah membolehkannya tercalon dalam kategori Bintang Asia Terbaik.

Drama bersiri itu disiarkan menerusi platform digital Tonton.

Aktres berkenaan juga telah berjaya menewaskan lima lagi pesaing dalam kategori yang sama termasuk barisan pelakon dari Korea Selatan, Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura.

Anda Mungkin Berminat