Maritim rampas bot pancing berisi 400kg ikan dibom

Oleh: Kamilia Ali

KOTA KINABALU: Sebuah bot pancing bersama lebih kurang 400 kilogram (kg) ikan pelbagai spesis telah dirampas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan dalam operasi rondaan bot di Pulau Sepanggar, di sini, baru-baru ini.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Sabah, Laksamana Pertama Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik, bot tersebut dirampas pada jarak lebih kurang 0.17 batu nautika Timur Laut Pulau Sepanggar.

“Ketika menyedari kehadiran bot ronda maritim, empat orang lelaki yang berada atas bot pam tersebut nekad terjun ke laut dan berenang ke daratan berhampiran bagi mengelak daripada diperiksa Maritim Malaysia.

“Pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan menemui beberapa peralatan lain beserta pelbagai spesies ikan anggaran lebih kurang 400kg yang dipercayai dibom,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau menjelaskan bahawa hasil siasatan awal ke atas sampel ikan itu mendapati organ dalaman ikan berkenaan hancur disyaki impak daripada aktiviti mengebom.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot serta 400 kilogram ikan bom pelbagai jenis dianggarkan dalam RM90,000.

“Maritim Malaysia mengingatkan kepada mana-mana pihak yang melakukan aktiviti mengebom ikan bahawa memiliki ikan atau hasil laut yang ditangkap menggunakan bahan letupan merupakan satu kesalahan yang sangat serius.

“Aktiviti tersebut boleh memberi kesan buruk kepada ekosistem lautan dan mengakibatkan habitat hidupan laut semakin terjejas,” jelasnya.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia menasihati orang ramai agar tidak melakukan aktiviti menangkap ikan yang boleh melanggar undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan.

Sebarang kelakuan jenayah laut boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan WP Labuan di talian 088-387774 atau hubungi talian kecemasan 999.

Baca juga: