Khutbah Jumaat Selangor sampaikan kesan penganiyaan GISBH terhadap kanak-kanak

Oleh: Kamilia Ali

PETALING JAYA: Khutbah Jumaat yang disampaikan hari ini mengingatkan keutamaan dalam memelihara dan mendidik anak-anak sebenarnya adalah satu tuntutan dalam Islam.

Ia susulan siasatan kes penganiyaan yang dipercayai berlaku dalam Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) terhadap kanak-kanak.

Antara intipati khutbah tersebut penderaan terhadap pelajar, eksploitasi terhadap kanak-kanak, buruh paksa, kesalahan jenayah seksual termasuk liwat di beberapa rumah amal termasuklah di sekolah-sekolah agama Islam di bawah kendalian pihak GISBH sendiri.

“Kefahaman ajaran Islam ini terhadap maqasid syariah dan hak kanak-kanak hendaklah difahami oleh semua pihak termasuk pihak GISBH.

“Penderaan dan pengabaian ke atas kanak-kanak yang disyaki terjadi amat mendukacitakan.

“Kenapa pihak GISBH melakukannya? Pihak GISBH hendaklah faham bahawa kanak-kanak mempunyai hak yang perlu dihormati dan disantuni,” katanya menerusi teks khutbah yang dikongsi melalui portal eKhutbah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Selangor (JAIS).

Jelasnya melalui khutbah yang sama, kanak-kanak juga mempunyai hak untuk hidup dan tinggal dalam suasana yang aman dan selamat serta jauh dari perlakuan jenayah yang jijik.

“Kesalahan-kesalahan jenayah seperti yang diperkatakan tadi, amatlah tidak wajar apa yang dilakukan oleh pihak GISBH ini apabila tidak memelihara kanak-kanak dengan baik.

“Islam menuntut umatnya termasuk pihak GISBH agar menjaga kanak kanak dengan baik dan menunaikan hak mereka.

“Oleh yang demikian, janganlah didera, janganlah menganiaya kanak kanak. Fikirlah bahawa kanak-kanak adalah anugerah Ilahi. Lihatlah mereka dengan pandangan kasih sayang. Kanak-kanak adalah permata negara dan khazanah yang bernilai,” katanya.

Dalam pada itu, umat Islam hendaklah sedar bahawa kanak-kanak adalah amanah Allah SWT untuk dijaga dan dididik berpandukan ajaran Islam yang sebenarnya selain menyantuni mereka dengan penuh kasih sayang dan melindungi mereka daripada sebarang bentuk penderaan dan kezaliman dengan penuh amanah serta ikhlas.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat