Oleh: Kamilia Ali
TAWAU: Seramai 18 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) daripada 187 individu yang diperiksa telah ditahan atas kesalahan langgar Akta Imigresen 1959/63 oleh Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) pada Khamis.
Hasil tahanan didapati semasa Operasi Bersepadu Siri 2/2024 Daerah Tawau.
Menurut Komander ESSCOM, Datuk Victor B Sanjos, objektif utama operasi bersepadu ini adalah demi menjamin keselamatan dan memelihara ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).
“Selain menjamin keselamatan dan memelihara ketenteraman, operasi dijalankan bagi membanteras penyeludupan barang kawalan, bersubsidi, tidak bercukai serta mengekang penyusupan PATI.
“Pihak berkuasa yang terlibat turut menguat kuasakan undang-undang terhadap kesalahan-kesalahan lain khususnya di kawasan pintu keluar masuk utama warga asing penduduk setempat.

“ESSCOM komited dalam mencapai misi tiada lagi pencerobohan kali kedua dan mengekalkan sifar penculikan yang menjadi misi utama ESSCOM,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Victor berkata, kejayaan operasi itu juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan melalui Operasi SANGGAH ESSCOM bagi memperkasakan operasi-operasi sedia ada di bawah Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Baca juga:







