Lebih 150 pemimpin dunia berhimpunan di New York hadiri UNGA ke-78

Lebih daripada 150 pemimpin dunia berkumpul di New York, Amerika Syarikat menandakan dengan bermulanya Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 pada Selasa tanpa empat pemimpin daripada lima anggota tetap Majlis Keselamatan pertubuhan antarabangsa itu.

Pada tahun ini UNGA yang merupakan badan pembuat dasar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekali lagi menumpukan isu seperti krisis makanan global, kenaikan harga makanan, pemanasan global dan konflik Ukraine-Rusia.

Dalam mengekalkan tradisi yang berdekad-dekad lamanya, Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva adalah pemimpin pertama yang mengeluarkan kenyataan negara pada sesi Debat Umum, diikuti Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden selaku negara tuan rumah.

Dalam ucapannya, Presiden AS, satu-satunya pemimpin anggota tetap Majlis Keselamatan PBB yang hadir di sini, menggesa seluruh dunia supaya menentang pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Presiden Rusia, Vladimir Putin, rakan sejawatnya dari China Xi Jinping, Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak tidak hadir pada perhimpunan selama seminggu itu.

Bagaimanapun, perhimpunan tahunan itu akan menyaksikan kembalinya Presiden Volodymyr Zelenskyy yang konflik negaranya dengan Rusia masih merupakan satu daripada isu yang dibincangkan di UNGA.

Selain daripada pemimpin negara dan kerajaan, ratusan perwakilan daripada pelbagai agensi PBB dan pertubuhan masyarakat madani menyertai beberapa acara dijadualkan sepanjang minggu ini.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka tiba di New York pada pukul 10 pagi Rabu (10 malam waktu Malaysia) untuk membuat penampilan sulungnya di UNGA dengan kenyataan negara dijadual akan disampaikan beliau pada pukul 10 pagi Jumaat (10 malam waktu Malaysia).

Tema Debat Umum pada tahun ini ialah ‘Rebuilding trust and reigniting global solidarity: Accelerating action on the 2030 Agenda and its Sustainable Development Goals (SDG) towards peace, prosperity, progress and sustainability for all’.

Mengulas mengenai ketidakhadiran empat pemimpin berprofil tinggi, Setiausaha Agung PBB, António Guterres berkata beliau tidak begitu kisah mengenai siapa yang datang ke New York daripada apa yang perlu diselesaikan, terutamanya untuk menghidupkan semula Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang perlahan dalam usaha mencapainya.

“Ini bukan ‘Vanity Fair’. Ini adalah sebuah badan politik di mana kerajaan-kerajaan diwakili,” katanya kepada UN News.

Pada Isnin, pemimpin dunia di Sidang Kemuncak SDG 2023 menerima Deklarasi Politik untuk mengukuhkan semula komitmen perkongsian mereka bagi menamatkan kemiskinan dan kelaparan, memerangi ketidaksamaan dalam dan antara negara-negara serta membina masyarakat yang aman dan tidak meninggalkan sesiapa di belakang.

Menurut Presiden UNGA, Dennis Francis, 1.2 bilion orang masih lagi tinggal dalam kemiskinan setakat 2022 dan secara kasarnya lapan peratus daripada populasi global atau 680 juta manusia akan tetap berhadapan kelaparan menjelang penghujung dekad ini.

Anda Mungkin Berminat