SEPANG: Kadar ringgit yang kembali teguh dalam pasaran tukaran mata wang asing sepanjang minggu ini membuktikan trend perkembangan positif bagi ekonomi Malaysia.
“Kita sudah lihat ringgit mula banyak mengukuh seperti diunjur awal tahun dan nampak baik dari segi ekonomi malah diramal bergerak kepada tahap yang lebih baik.
“Ringgit masih mengukuh dan sedang mencari nilai imbang yang sepatutnya,” kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ditemui pemberita pada satu acara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat.
Semalam, ringgit ditutup kepada 4.12 berbanding dolar AS sekali gus muncul antara mata wang berprestasi terbaik di peringkat dunia.
Matawang Malaysia itu menjadi tumpuan ramai pihak apabila memaparkan prestasi cemerlang dalam suku ketiga 2024 dengan naik 12 peratus sejak awal tahun dan terbaik di rantau ASEAN.
Beliau sementara itu menyatakan rasa gembira kerana kadar ringgit turut teguh berbanding semua mata wang di Asia Tenggara dan ia mempengaruhi momentum kerancakan ekonomi Malaysia.
Situasi ini ujarnya, penting kerana pengukuhan ringgit bakal menarik banyak pelaburan asing masuk ke negara ini dan seterusnya meningkatkan lagi permintaan mata wang itu.
Dalam perkembangan berkaitan, BMI Country Risk & Industry Research (BMI), unit Fitch Solutions, menyemak naik unjuran ringgit bagi akhir 2024 kepada RM4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat.
Melangkaui tempoh enam bulan, BMI juga mengunjurkan ringgit untuk mengukuh sehingga 9.0 peratus pada 2025, mencecah RM3.55 berbanding dolar AS menjelang akhir 2025.