Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak agar menjadikan pembasmian kemiskinan agenda utama dalam pembangunan negara.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pembangunan harus melibatkan semua lapisan rakyat, tanpa ada yang ketinggalan akibat ketiadaan peluang.
“Pembasmian kemiskinan perlu dijadikan suatu imperatif ekonomi dan moral,” tegasnya dalam ucapan Peluncuran Simposium Kemiskinan Kebangsaaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau turut mengkritik perbahasan ekonomi yang terlalu memfokuskan golongan elit, sedangkan isu kemiskinan pula dipinggirkan.
“Malaysia perlu melakukan anjakan serius untuk membicarakan soal kemiskinan rakyat,” tambahnya.
Dalam hal tersebut, beliau menekankan perlunya pakar ekonomi dan penjawat awam memainkan peranan penting dalam usaha tersebut, memastikan bahawa bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Anwar turut menyentuh tentang ketidakadilan dalam pengagihan subsidi, dengan golongan kaya sering mendapat insentif besar melalui industri, manakala bantuan untuk golongan miskin sering terhad.
Beliau juga mengkritik pengurusan dana yang sepatutnya membantu golongan miskin, namun sebahagian besar dana tersebut digunakan pula untuk pengurusan agensi dan jabatan.
“… 80 peratus diberikan kepada pengurusan dan hanya 20 peratus untuk orang miskin. Ini satu ketidakadilan yang perlu diperbetulkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anwar turut berharap rakyat dan kerajaan bersatu dalam memerangi kemiskinan tegar dan beliau yakin bahawa Malaysia mampu menghapuskan kemiskinan dalam masa yang singkat, jika pendekatan yang betul diambil.
Turut hadir, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta anggota kementerian dan agensi yang terlibat.