Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan enam ikhtiar utama dalam usaha menoktahkan kemiskinan di negara ini.
Antaranya ialah untuk memantapkan pengukuran kemiskinan dengan menggunakan konsep Pendapatan Boleh Guna Bersih (NDI) yang lebih tepat dalam mengenal pasti golongan sasaran.
Pendekatan tersebut akan memastikan bantuan disalurkan dengan adil, berdasarkan kos kehidupan yang wajar seperti makanan, tempat tinggal dan keperluan asas lain, berbeza mengikut lokasi dan demografi setiap isi rumah.
Dalam usaha kedua, kerajaan komited untuk mereformasi dana pembasmian kemiskinan.
“Subsidi akan lebih disasarkan, dan pembiayaan berinovatif seperti dana impak sosial dan perkongsian awam-swasta akan diperluaskan.
“Kerajaan juga menyeru lebih banyak penglibatan dari sektor zakat dan wakaf dalam membantu asnaf dan melaksanakan program pendayaan usahawan bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Perpaduan.
Kerajaan juga memberi tumpuan kepada penyepaduan beberapa pangkalan data utama seperti eKasih dan Sistem Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Selain itu, kerajaan turut menyasarkan penggunaan Pangkalan Data Utama (PADU) sebagai asas dalam menentukan kelayakan dan pemberian bantuan dengan lebih tepat dan berkesan, bagi mengelakkan pertindihan atau pembaziran sumber pada tahun 2025.
Seterusnya, perubahan sikap dan pemikiran masyarakat turut menjadi fokus dalam usaha tersebut.
Kerajaan menyedari bahawa kemiskinan bukan sahaja berkaitan dengan kekurangan material, tetapi juga kekurangan dalam cita-cita dan hemah.
Oleh itu, pendekatan reformasi perlu bermula dari dalam diri masyarakat agar perubahan yang sebenar dapat dicapai.
Dalam ikhtiar memperkukuh usaha menoktahkan kemiskinan, kerajaan juga mengambil pendekatan yang holistik melalui program Kampung Angkat Madani dan Sejahtera Komuniti Madani.
Ia dilaksanakan untuk memperkasa ekonomi komuniti di luar bandar, serta memastikan kemudahan prasarana yang mencukupi.
Akhir sekali, program-program seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) turut diperkenalkan untuk menangani isu kemiskinan melalui usaha yang inovatif.
“Program seperti IPR-INSAN dan IPR-INTAN telah menunjukkan hasil yang positif, dan kerajaan berhasrat untuk memperluaskan program ini ke seluruh negara,” tambah kenyataan tersebut.
Dengan kerjasama erat dari semua pihak, kerajaan yakin usaha untuk menoktahkan kemiskinan tegar di Malaysia dapat dicapai dengan jayanya.