Songket bakal jadi tumpuan di Washington DC

Oleh: Kamilia Ali

PETALING JAYA: Songket atau kain tenun yang bersulam benang emas atau perak akan menjadi tumpuan utama pada sambutan Hari Malaysia di Kedutaan Malaysia di Washington, Amerika Syarikat pada 11 hingga 25 Oktober nanti.

Inisiatif ini diilham dan diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) terhadap Songket Malaysia.

Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, songket dipilih sempena Hari Malaysia Ke-61 sekali gus memberi peluang tetamu merasai seni kraftangan mewah ini.

“Selain hormati warisan kita, saya juga ingin promosikan pertukaran budaya dan persefahaman antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

“Harapan saya ialah ia akan menarik minat global dalam tekstil tradisional dan memudahkan kemasukan ke pasaran yang lebih luas,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ujarnya, sambutan selama dua minggu itu akan dimulakan dengan pertunjukan fesyen Golden Threads of Songket dan pelancaran rasmi Pameran Hari Songket Malaysia pada 10 Oktober.

“Pertunjukan fesyen itu akan menampilkan ciptaan pereka terkenal Malaysia, Sharifah Kirana dan pereka muda yang baru muncul Zachrin Jaafars. Koleksi akan merangkumi corak indah dan warna songket yang kaya.

“Reka bentuk mereka meraikan ketukangan tradisional sambil memancarkan kecanggihan songket itu sendiri serta menawarkan tafsiran semula yang cemerlang dan elegan bagi tekstil abadi ini,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Tekstil Songket dari Muzium Tekstil Kebangsaan Malaysia turut dipamerkan serta beberapa artis akan diterbangkan ke Washington bagi pelancaran tersebut antaranya ialah Adiguru, Kelthom Hussein dan pemilik Che Minah songket yang akan menunjukkan seni tenunan songket.

Sebelum itu, ceramah dan persembahan hibrid selama satu jam mengenai Songket akan diadakan pada 3 Oktober, di Universiti George Washington (GWU).

Akan hadir bagi merasmikan dan menyokong Songket Malaysia di Washington, D.C. ialah Putera Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakry Petra ibni Almarhum Sultan Muhammad Petra.

Anda Mungkin Berminat