Oracle rancang labur RM27 bilion di Malaysia

SYARIKAT teknologi komputer multinasional Amerika Syarikat, Oracle hari ini mengumumkan pelaburan lebih US$6.5 bilion (RM27 bilion) bagi mewujudkan wilayah awan awam di Malaysia.

Ia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) dan awannya.

Dalam kenyataan pada Rabu, Oracle menjelaskan wilayah awan yang akan diwujudkan itu membolehkan pelanggan dan rakan kongsinya di Malaysia memanfaatkan infrastruktur dan perkhidmatan AI dan memindahkan beban kerja yang penting kepada “Oracle Cloud Infrastructure” (OCI).

Memetik Harian Metro, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Malaysia amat mengalu-alukan pelaburan US$6.5 bilion oleh Oracle di Malaysia, yang mewakili satu lagi pengembangan operasi 36 tahun mereka di Malaysia.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Oracle Garrett Ilg berkata Malaysia menawarkan peluang pertumbuhan unik untuk organisasi yang ingin mempercepat pengembangan masing-masing dengan teknologi digital terkini.

Naib Presiden Awan, Pusat Data dan Infrastruktur Digital Masa Depan Asia Pasifik, International Data Corporation (IDC), Franco Chiam pula berkata wilayah awan Oracle yang akan diwujudkan di Malaysia menandakan potensi negara ini untuk menjadi hab bagi inovasi teknologi dan pertumbuhan di Asia Tenggara.

Menurut Oracle, wilayah awan awam yang dirancang akan membantu organisasi di Malaysia memodenkan penggunaan mereka, memindahkan semua jenis beban kerja kepada awan, dan berinovasi dengan data, analitik dan AI.

Pelanggan boleh mempunyai akses kepada, antara lain “OCI Generative AI Agents” Oracle dengan keupayaan penjanaan tambahan dapatan semula (RAG) serta perkhidmatan pengkomputeran dipercepat dan AI generatif untuk membantu mengekalkan model AI berdaulat dalam sempadan negara.