Ulasan | Pelabur gergasi makin ramai tapi pelajar sains tulen makin sikit

Oleh: Dr Anuar Ahmad

SEJAK PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) memimpin kerajaan perpaduan, kita sudah melihat begitu banyak syarikat gergasi dan pelaburan besar dari negara asing. Mereka telah menyatakan minat dan ada yang telah pun memulakan pelaburan mereka di negara ini.

Kebanyakan syarikat gergasi ini adalah syarikat berteknologi tinggi. Syarikat yang fokus pada pembangunan teknologi maklumat dan AI (kecerdasan buatan). Bila syarikat gergasi ini mula beroperasi di negara kita, mereka perlukan sumber manusia yang kompeten sesuai dengan perniagaan mereka.

Mereka peniaga. Tentulah mereka mahukan keuntungan. Jadi, mereka mahu para pekerja yang cekap, berpengetahuan dan tinggi disiplin kerja.

Soalnya, apakah sumber manusia negara kita akan bersedia? Secara kuantiti dan juga kualiti?

Persediaan ini sebenarnya mesti bermula di sekolah. Aliran sains tulen adalah asasnya. Tanpa anak-anak kita mahir dan cemerlang dalam mata pelajaran Matematik, Fizik, Biologi Kimia dan Add Math (Matematik Tambahan), bagaimana kita boleh menyediakan sumber manusia yang kompeten dalam teknologi AI, perisian, perubatan, kejuruteraan, bio teknologi dan lain -lain lagi. Tidak mungkin.

Malangnya, semakin bimbang bila didapati saban tahun bilangan murid dalam aliran sains tulen semakin merosot. Anda boleh rujuk statistik rasmi yang disediakan secara online oleh LPM.

hiasan

Saya ringkaskan statistik LPM di bawah.

Tahun – Bilangan calon Matematik Tambahan

2018 – (133,028 pelajar); 2019 – (126,431 pelajar); 2020- (120,275 pelajar); 2021 – (116,576 pelajar); 2022 – (113,709 pelajar); dan 2023 – (109,921 pelajar)

Tahun- Bilangan calon Kimia

2017- (112,981 pelajar); 2018- (103,848 pelajar); 2019- (99,265 pelajar); 2020- (94,972 pelajar); 2021- (91,793 pelajar); 2022- (92,998 pelajar); dan 2023- (91,674 pelajar);

Tahun – Bilangan calon Fizik

2017- (111,141 pelajar); 2018- (102,189 pelajar); 2019- (97,759 pelajar); 2020- (93,728 pelajar); 2021- (90,583 pelajar); 2022- (92,084 pelajar); dan 2023- (90,778 pelajar)

Tahun – Bilangan calon Biologi

2017- (89,694 pelajar); 2018- (81,240 pelajar); 2019- (77,896 pelajar); 2020- (74,765 pelajar); 2021- (71,319 pelajar); 2022- (73,216 pelajar) dan 2023- (71,604 pelajar)

Semua subjek utama sains tulen menunjukkan kemerosotan bilangan murid. Malah lebih 1/3 dari calon ini hanya mendapatkan gred D, E dan G sahaja dalam SPM. Berapa kerat sahaja lagi yang tinggal untuk sambung pelajaran dalam berbagai bidang Sains dan Teknologi di IPT? Apa akan berlaku jika tiada usaha memulihkan keadaan ini?

Secara logik, tentunya syarikat gergasi global ini akan mula memohon dan mendesak pihak kerajaan untuk membenarkan mereka mengambil para pekerja asing yang berkemahiran tinggi.

Syarikat gergasi pembayar cukai, jika syarikat mereka rugi, negara kita juga akan hilang pendapatan dari segi cukai. Mahu tidak mahu, terpaksalah kerajaan bersetuju dengan permintaan mereka. Malah sudah pun ada cadangan tersebut.

Jika kita terus gagal meramaikan anak-anak kita yang cemerlang dalam aliran sains tulen, tidak mustahil untuk kita lihat nanti siapa sebenarnya yang akan dapat faedah terbesar atas usaha PMX membawa masuk sebegitu banyak pelaburan asing.

Tentu bukan anak-anak Malaysia lagi, tetapi anak-anak muda negara asing yang mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bidang sains dan teknologi. Mereka yang untung.

Sanggup kita lihat anak-anak kita berputih mata?