Polis: Gantung diri punca tahanan mati dalam lokap

Oleh: Kamilia Ali

KUALA LUMPUR: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman telah menjalankan siasatan berkaitan satu laporan kes kematian seorang tahanan polis di lokap Pekan, Pahang pada 4 Mei lalu.

Menurut Pengarahnya, Komisioner Polis Datuk Sri Azri Ahmad, orang tahanan yang merupakan seorang lelaki berumur 25 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan daripada Hospital Pekan, Pahang.

“Bedah siasat telah dijalankan dan mendapati punca kematian adalah gantung diri (Hanging).

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian dalam Tahanan (USJKT) Bukit Aman akan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, kes ini juga telah dirujuk ke Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) pada 4 Mei 2024 (dalam tempoh 24 jam) selaras dengan kehendak Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (Akta 839) dan seterusnya pada 7 Mei dalam tempoh tujuh hari serta laporan berkala untuk pemantauan dan perkembangan siasatan.

Pada 1 Mei lalu, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan, Pahang telah menangkap seorang lelaki dipercayai menunggang motosikal curi.

Susulan itu, ujian saringan air kencing telah dilaksanakan dan mendapati lelaki itu positif dadah jenis Morphine, sekali gus kes disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Selain itu, lelaki tersebut telah direman selama tiga hari mulai 2 hingga 4 Mei 2024 di lokap IPD Pekan, Pahang.

Anda Mungkin Berminat