ISLAMABAD: ASEAN merupakan antara subwilayah paling aman dan mempunyai ekonomi dinamik dengan kalangan negara anggotanya menikmati pertumbuhan yang pesat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakistan boleh mendapat akses terhadap peluang ekonomi rantau ASEAN yang semakin berkembang dengan menjadikan Malaysia sebagai pintu gerbang.
“Sehubungan itu, kita akan membuka laluan, malah saya telah memberi jaminan kepada Perdana Menteri Shehbaz Shariff bahawa ia (Malaysia) adalah terbuka.
“Bukan itu sahaja, anda boleh memanfaatkan Malaysia sebagai hab ke rantau ini,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian dalam wawancara dengan stesen Pakistan Television (PTV) pada Jumaat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ASEAN kekal sebagai sebuah kumpulan perdagangan yang berkecuali dan pada masa sama aktif melakukan penglibatan dengan negara-negara Timur dan Barat termasuk Australia, India, Bangladesh dan kini Pakistan.
Menyentuh hubungan dua hala Malaysia-Pakistan, Perdana Menteri berkata terdapat potensi besar yang boleh dimanfaatkan oleh kedua-dua negara termasuklah kestabilan politik semasa Malaysia yang menjadi antara faktor penarik pelaburan asing ke negara ini.
Dalam kalangan negara-negara Asia Selatan, Pakistan merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport utama serta sumber import kedua terbesar pada 2023.