RUNTUN hati netizen tatkala menatap wajah suram dua pelajar Sekolah Kebangsaan Tiong Widu, Tambunan Sabah yang layak ke pertandingan akhir deklamasi sajak peringkat kebangsaan namun diberitahu tidak dapat ke Semenanjung kerana masalah kos.
Cikgu Sharif yang menjadi guru penyelaras menjelaskan di TikTok bahawa mereka kekurangan dana seperti tiket penerbangan sahaja menelan kos beribu ringgit dan lain-lain kos lagi.
Terpapar wajah kecewa Qyiara Aidyraa (Manda-kategori Tahun 6) dan adiknya Aidy Alwandy (Lepuk-kategori Tahun 4) apabila dikhabarkan demikian.
Tidak sampai hati menghampakan impian dua pelajar desa itu, Cikgu Sharif bersama guru-guru lain melancarkan tabung dan akhirnya berjaya menyelesaikan masalah itu.
“Alhamdulillah, berkat sumbangan guru-guru, pihak sekolah dan orang luar, akhirnya saya berjaya membawa mereka terbang untuk terus ke pertandingan.
“Kami berlatih setiap hari pada waktu pagi, petang, siang dan malam untuk membalas jasa penyumbang serta ingin mengharumkan nama sekolah, daerah dan juga negeri di peringkat kebangsaan,” tambahnya.
Tibalah hari yang dinantikan, dua beradik itu kemudiannya terbang untuk menyertai pertandingan itu dan akhirnya Cikgu Shariff memaklumkan kedua-duanya berjaya dengan Lepuk menjadi Johan manakala Manda menjadi Naib Johan
Video tersebut dikongsikan di pelbagai platform sosial media sehingga ramai yang baik hati mahu menghulurkan bantuan kepada mereka berdua untuk melebarkan sayap lebih besar.