Batal lesen, haramkan penganjur ‘Red Dress Run’ – Puad Zarkashi

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Penganjur bagi acara larian amal yang bertemakan ‘Red Dress Run’ perlu diharamkan terus.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, apa yang dilakukan oleh penganjur itu sebenarnya bukan mempromosikan Johor tetapi menjahanamkan imej negeri itu.

“Buat apa bawa tradisi ‘Hash House Harriers’ di negara ini. Banyak budaya negara dan Johor yang boleh diguna untuk larian amal. Bukannya dengan berpakaian nampak punggung dan promosi  ‘lesbian, gay, bisexual dan transgender’ (LGBT),” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Sabtu lalu, polis menahan tiga lelaki termasuk dua warga asing bagi membantu siasatan berhubung program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di Kota Tinggi.

Sebelum ini dilaporkan bahawa tiga peserta seorang lelaki Taiwan berpakaian tradisional, seorang warga India yang memakai sari bersama blaus, dan seorang lelaki tempatan memakai pakaian tidur menarik perhatian kerana pakaian luar biasa mereka.

Peserta dari Taiwan tersebut tidak memakai baju dan bahagian punggungnya dikatakan terdedah.

Susulan itu, Presiden Hash House Harriers, Johor Bahru A Magendran menjelaskan, tujuan larian itu adalah untuk mengumpul dana amal dan mempromosikan negeri Johor, khususnya Desaru.

Katanya, larian itu semata-mata untuk keseronokan dan kebajikan dan mereka bukannya tidak menyokong atau menentang mana-mana kumpulan atau individu berkaitan seksual dan ia hanyalah larian.

Mengulas lanjut, Puad juga menolak dakwaan bahawa pihak penganjur mungkin terlepas pandang.

“Mana mungkin penganjur terlepas pandang. Sepatutnya mereka boleh nampak pakaian peserta dan boleh halang dari awal lagi penyertaan mereka atau ketika sedang berlari.

“Batalkan sahaja lesen mereka dan haramkan jadi penganjur masa akan datang. Memalukan,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat