Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: Perkahwinan yang dibina selama tujuh tahun sudah berakhir dan Nur Fazura mendakwa Fattah Amin berlaku curang terhadap dirinya.
Nur Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 41, mendakwa bekas suaminya itu berlaku curang dan tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan ayah.
Fazura melontarkan dakwaan tersebut selepas selesai prosiding penceraiannya dengan keputusan sah cerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Selangor, hari ini.
“Secara jujurnya saya sebagai isteri, takkan saya gembira dengan berita ini. Keputusan ini diambil dengan tepat.
“Punca penceraian pertama adalah Fattah telah abaikan nafkah saya dan Fatima setelah sekian lama. Kedua, kami tidak bersefahaman lagi tapi saya tetap bertahan walaupun segala cacian dan tohmahan yang saya terima dengan mengharapkan hadirnya susuk suami mempertahankan saya, namun tiada.
“Yang ketiga yang saya tidak boleh tahan lagi, memang Fattah berlaku curang terhadap saya. Dan ya, saya ada bukti,” katanya.
Fazura yang juga seorang usahawan penjualan tudung termuka itu memberi penjelasan dengan linangan air mata dan menekankan bahawa keretakan rumah tangganya bermula setelah beberapa bulan tidak duduk sebumbung bersama Fattah.
Sebelum ini, Fazura telah memfailkan perceraian terhadap Fattah di Mahkamah Syariah Petaling 13 September lalu.
Perkara itu disahkan sendiri oleh pengurus Fazura iaitu Iman Tang.
Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Nur Fatima Aisya.