10 pelajar berpeluang berkomunikasi dengan angkasawan NASA

Oleh: Kamilia Ali

PETALING JAYA: Seramai 10 orang pelajar berpeluang berkomunikasi secara langsung dengan Angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), Sunita Williams yang berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) melalui Stesen Radio Amatur, Planetarium Negara pada pukul 7.55, malam tadi.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), satu program Komunikasi Langsung dengan Ruang Antarabangsa Stesen (ISS CONTACT) 2024 telah diadakan bagi memberi pendedahan kepada pelajar tentang kepentingan teknologi angkasa dan kehidupan angkasawan di ISS.

“Bertemakan “Angkasa dan Perubahan Iklim”, Planetarium Negara telah merangka program-program menarik untuk pelbagai lapisan masyarakat sepanjang bulan Oktober 2024 ini.

“Program tersebut juga menyokong inisiatif perkukuhan program pembudayaan Sains, Teknologi, dan Inovasi (STI) dan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN),” katanya.

Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Dr Aminuddin Hashim berkata, melalui inisiatif program ini stesen radio amatur di Planetarium Negara merupakan satu-satunya stesen radio amatur di Malaysia yang diberikan kebenaran untuk menghubungi angkasawan di ISS sejak pelancaran Angkasawan Negara yang pertama pada 2007.

“Sebentar tadi, kita telah berkomunikasi secara langsung selama sembilan hingga sepuluh minit dengan ISS yang berada di antara 330 kilometer (km) hingga 435km dari permukaan bumi, yang berkelajuan 26,700 km sejam.

“Dalam tempoh berkenaan, para pelajar berpeluang bertanyakan soalan secara langsung kepada Angkasawan Sunita antaranya mengenai kehidupan beliau sebagai angkasawan di ISS.

“Secara tidak langsung, aktiviti tahunan ini dapat mendedahkan kepada mereka tentang bidang teknologi dan kepentingan teknologi sains angkasa terutamanya dalam bidang komunikasi satelit,” jelasnya.

Difahamkan, para pelajar yang terlibat adalah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tengku Ampuan Hajjah Afzan Pahang.

Baca juga: