Reaksi terhadap nama Muhammad Jibril, ini jawapan Mufti

PASANGAN selebriti Fatin Afeefa dan suaminya, Opai, mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan warga maya selepas menamakan anak lelaki mereka Muhammad Jibril, yang kini berusia tujuh bulan.

Nama tersebut menimbulkan persoalan sama ada dibenarkan dalam Islam atau tidak.

Menerusi pandangan ulama secara umum, menamakan anak dengan nama nabi dan malaikat adalah harus.

Namun, terdapat perbezaan pendapat berhubung nama malaikat utama seperti Jibril, Mikail, Izra’il, dan Israfil, yang dianggap makruh oleh sebahagian ulama kerana kedudukan mereka yang sangat mulia.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa pandangan mazhab Syafi’e, yang disokong oleh Imam al-Nawawi, menyatakan tiada larangan khusus mengenai penamaan anak dengan nama malaikat.

Penggunaan nama tersebut tidak membawa kemudaratan dan tidak dianggap makruh.
Bagaimanapun, ulama seperti Imam Malik memakruhkan nama Jibril, dan Imam Ibn al-Qayyim pula menyatakan semua nama malaikat adalah makruh untuk digunakan sebagai nama anak.

Mereka merujuk kepada kedudukan istimewa malaikat dalam Islam, yang menjadikan penggunaan nama mereka kurang sesuai.

Walaupun begitu, nama malaikat lain seperti Malik dan Ridhwan yang sering digunakan dalam masyarakat dianggap tidak makruh dan dibenarkan.

Fatin Afeefa dan Opai, yang mendirikan rumah tangga pada Disember 2022, mendedahkan cahaya mata sulong, Muhammad Jibril semasa Majlis Akikah anak mereka pada Ahad lalu.

Nama ini menarik perhatian warganet dan mengundang tanda-tanya kerana Jibril merupakan malaikat utama dalam Islam.

Oleh itu, pasangan yang ingin menamakan anak mereka dengan nama malaikat disarankan mendapatkan nasihat daripada pihak berkuasa agama agar sesuai dengan ajaran Islam.

Anda Mungkin Berminat