VIENTIANE: Malaysia memerlukan anjakan dan perubahan yang lebih rancak untuk terus melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara, atau berisiko berhadapan dengan keadaan ekonomi yang muram dan lembap.
Oleh sebab itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dengan tata kelola yang semakin baik bersama dengan dasar jelas dalam sektor perindustrian, transformasi digital, tenaga dan semikonduktor mula membuahkan hasil yang positif.
“Saya tegaskan bahawa penting untuk memanfaatkan kestabilan politik di Malaysia yang kita kecapi saat ini untuk memperbaiki tata kelola,
“Selain menjulang amalan pengurusan beramanah dan bertanggungjawab dengan matlamat mengangkat martabat, darjat dan harkat negara.
“”Alhamdulillah, kita melihat perkembangan ekonomi yang memberangsangkan kebelakangan ini,” katanya.
Anwar berkata demikian pada majlis ramah mesra bersama kakitangan kedutaan di kediaman rasmi Duta Besar Malaysia ke Lao PDR, malam tadi.
Beliau menggunakan kesempatan itu untuk menzahirkan penghargaan atas komitmen dan khidmat cemerlang kakitangan kedutaan yang memainkan peranan penting dalam meyakinkan pelabur untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan.
“Saya percaya dengan semangat melaksanakan perubahan sedaya upaya dan keikhlasan berkhidmat dari hati nurani yang bersih, kita berupaya memenuhi potensi Malaysia menjadi antara negara hebat di dunia,” ujarnya.