Oleh: Haikal Tajuddin
KUALA LUMPUR: Kerajaan dirayu agar memansuhkan kos sewa kantin, bil air dan juga eletrik serta menyediakan subsidi khas kepada pengusaha kantin akibat peningkatan harga barang makanan.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) Khairuddin Hamzah, berkata hal ini banyak pihak mengharapkan harga makanan di kantin kekal murah sedangkan kos barang semakin meningkat.
“Oleh itu, saya mengharapkan kerajaan dapat mempertimbangkan subsidi khas kepada pengusaha kantin.
“Saya turut menggesa pihak kerajaan untuk memansuhkan kos seperti sewa kantin sekolah, elektrik dan air kerana pada masa ini, kantin sekolah perlu membayar bil elektrik mengikut kadar industri,” ujarnya.
Jelasnya, menerusi belanjawan sebelum ini, pihak PPKSM juga kurang berpuas hati kerana kantin berada dalam keadaan uzur disebabkan terpaksa membeli sendiri kemudahan asas seperti kerusi dan meja sedangkan ia sewajarnya disediakan oleh kerajaan.
“Oleh itu, saya mengharapkan kerajaan dapat menyediakan peruntukan untuk membaiki dan menyelenggara kantin sekolah di seluruh Malaysia terutamanya yang dikategorikan sebagai kantin daif.
“Dana khas juga turut wajar diberikan supaya dapat memudahkan penyelenggaraan memperbesarkan kantin sekolah bagi menampung semua murid untuk makan dan berehat dengan lebih selesa,” jelasnya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.
Sejajar perkara tersebut, beliau turut mencadangkan kerajaan untuk memperluaskan bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bukan sahaja berfokus kepada murid di sekolah rendah sahaja malah di sekolah menengah juga.