DONALD Trump dan sekutu Republikan sering kali mendakwa bahawa Demokrat merancang untuk mendapatkan pendatang tanpa izin untuk mengundi dalam pilihan raya Amerika Syarikat (AS). Tetapi, persoalannya sekarang, bolehkah pendatang tanpa izin benar-benar mengundi?
Memetik laporan BBC Verify, mereka didakwa telah mengenal pasti lebih daripada 100 iklan berbayar di Facebook dan Instagram yang disiarkan oleh Republikan sejak awal September, yang memfokuskan kepada isu ini.
Sebenarnya, mengundi dalam pilihan raya kebangsaan oleh warga bukan AS adalah menyalahi undang-undang. Kajian menunjukkan kes-kes ini sangat jarang berlaku.
Undang-undang Yang Melarang Pendatang Tanpa Izin Mengundi
Akta Pembaharuan Imigresen Tanpa Izin dan Tanggungjawab Imigran 1996 melarang orang bukan warganegara termasuk pendatang tanpa izin daripada mengundi dalam pilihan raya persekutuan. Hukuman bagi kesalahan ini termasuk penjara setahun, denda dan mungkin pengusiran.
Setiap negeri di AS diwajibkan menggunakan borang pendaftaran biasa yang memerlukan individu mengesahkan bahawa mereka adalah warganegara AS, di bawah penalti sumpah bohong, tetapi tidak memerlukan bukti dokumentari.
“Langkah pertama untuk menanda kotak yang menyatakan anda warganegara adalah penghalang besar bagi pendatang tanpa izin, kerana sangat berisiko untuk berbohong,” kata Jasleen Singh dari Brennan Center for Justice.
Untuk info, penalti sumpah bohong di AS adalah hukuman yang dikenakan kepada seseorang yang dituduh berbohong di bawah sumpah. Jika seseorang ditemui berbohong di pengadilan atau dalam proses saksi, mereka boleh dikenakan penalti sumpah bohong. Penalti ini melibatkan penjara, denda dan kadangkala pengusiran.
Di kebanyakan negeri, daftar pemilih dirujuk silang dengan perkhidmatan kewarganegaraan dan imigresen, sijil kematian dan rekod pos untuk memastikan bahawa orang yang bukan warganegara, mati atau tinggal di luar negeri tidak didaftarkan untuk mengundi.
Bukti Pendatang Tanpa Izin Mengundi
Beberapa kajian, termasuk dari organisasi konservatif dan berhaluan kiri, menunjukkan bahawa insiden pendatang tanpa izin mengundi dalam pilihan raya persekutuan AS adalah sangat jarang berlaku.
Contohnya, satu kajian oleh Brennan Center for Justice yang menemu bual 44 pegawai pilihan raya di 12 negeri semasa pilihan raya 2016 mendapati bahawa daripada 23.5 juta undi yang dikira, hanya 30 insiden yang disyaki melibatkan pengundi bukan warganegara dirujuk untuk siasatan lanjut. Ini adalah kira-kira 0.0001 peratus daripada semua undian yang diberikan.
Analisis pangkalan data oleh Heritage Foundation, kumpulan penyelidikan konservatif, mendapati 77 contoh pengundian bukan warganegara antara 1999 dan 2023. Kajian oleh Institut Cato turut membuat kesimpulan yang sama, menyatakan bahawa “bilangan bukan warganegara yang mengundi adalah sangat kecil.”
Menurut Walter Olson, seorang felo kanan di Institut Cato, “Ia bukan sifar, sesetengah orang tergelincir kerana pelbagai sebab, tetapi ia tidak berada pada tahap yang hampir untuk memberi kesan kepada keputusan pilihan raya.”