Kerajaan Komited Urus Hutang Negara Secara Berhemat

PETALING JAYA: Kerajaan menzahirkan komitmen kukuh dalam mengurus dan menstabilkan hutang negara yang kini telah mencecah RM1.173 trilion pada tahun 2023.

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2024, hutang Kerajaan Persekutuan meningkat sebanyak RM92.918 bilion atau 8.6 peratus berbanding RM1.080 trilion pada tahun 2022.

“Daripada jumlah keseluruhan hutang tersebut, sebanyak RM1.143 trilion atau 97.5 peratus terdiri daripada Pinjaman Dalam Negeri.

“Manakala Hutang Luar Negeri mencatatkan RM29.851 bilion, iaitu 2.5 peratus daripada keseluruhan hutang,” katanya.

Untuk menangani peningkatan tersebut, kerajaan telah mengambil langkah strategik melalui pelaksanaan pembaharuan fiskal, termasuk meluluskan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850) di Parlimen pada 11 Oktober tahun lalu.

Akta itu bertujuan memperkukuh pengurusan kewangan negara dan memastikan langkah pengurangan defisit dilaksanakan secara berperingkat.

“Tindakan rasionalisasi dan konsolidasi defisit turut diberi tumpuan bagi memastikan kestabilan ekonomi jangka panjang negara.

Melalui pendekatan berhemat dan disiplin fiskal yang ketat, kerajaan berusaha memastikan hutang negara terkawal dan pertumbuhan ekonomi dapat terus dipacu demi kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.