Tunku Putera Johor muncul naib juara pada perlumbaan GT World Challenge Asia 2023

Putera bongsu Sultan Johor, Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim muncul sebagai Naib Juara Kejuaraan Pemandu GT3 ketika Perlumbaan GT World Challenge Asia 2023 melabuhkan tirainya musim ini.

Tunku Abu Bakar bersama rakan sepasukan, Mikael Grenier mewakili Johor Racing (JMR) mencatatkan prestasi baik pada perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kelmarin dan semalam dengan meraih podium iaitu tempat ketiga pada kedua-dua perlumbaan.

Perlumbaan hujung minggu lalu itu menyaksikan Tunku Abu Bakar mengakhiri musim kejuaraan perlumbaan GT World Challenge Asia, dengan mengumpul 137 mata, hanya kurang lima mata di belakang juara, Anthony Liu Xu dari China.

Royal Press Office (RPO) nenerusi hantaran di Facebook memaklumkan, seorang lagi putera baginda berdua, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor bersama rakan sepasukannya, Broc Feeney menamatkan perlumbaan pada tangga ke-11, dua hari berturut-turut.

Perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu juga diserikan dengan keberangkatan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah untuk memberikan dorongan dan sokongan kepada kedua-dua putera.

Berangkat sama ialah Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah, Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dan Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Anda Mungkin Berminat