Oleh: Shafira Aziz
KUDAT: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) memeriksa 228 individu dan 200 premis di Kampung Sibogo Pondoh dan Pulau Bankawan dekat sini dalam operasi menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan jenayah rentas sempadan (JRS).
Dinamakan Operasi GASAK Laut Khas Siri 1/2024, ia dijalankan berdasarkan aduan awam mengenai aktiviti rentas sempadan.
Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor Sanjoss, berkata operasi itu melibatkan penyeludupan kontraban dan barang kawalan serta kesalahan-kesalahan lain yang boleh mengancam keselamatan serta kesejahteraan masyarakat ESS Zone.
“Saya amat memandang serius akan aduan awam berhubung kesalahan-kesalahan di atas. Oleh itu, OGL Khas ini telah menyasarkan pemeriksaan secara besar-besaran untuk melumpuhkan mobiliti kegiatan JRS selain membasmi lokasi staging point elemen JRS.
“Di samping itu, kehadiran pasukan keselamatan secara terkoordinasi juga akan mewujudkan elemen pencegahan, menjamin keselamatan dan meningkatkan kesejahteraan komuniti dalam kawasan perairan dan pesisir pantai Kudat, khasnya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Operasi tersebut melibatkan seramai 140 anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Maritim Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyertai operasi tersebut.
Dalam pada itu, Victor menyeru orang ramai melaporkan maklumat keselamatan ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau WhatsApp 011-63311072.