Khutbah di Selangor: Umat Islam wajib perangi Imam Mahdi palsu


Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Khutbah Jumaat di Selangor hari ini mengetengahkan keruntuhan dan penyelewengan akidah umat Islam melibatkan individu yang mendakwa dirinya Imam Mahdi.

Teks disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu bertajuk ‘Imam Mahdi: Antara Kebenaran dan Penyelewengan’, menjelaskan bahawa Imam Mahdi palsu bertebaran dia ia telah difatwakan haram oleh Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara’ (FATWA).

Ia juga sejajar dengan ajaran sesat yang senang tersebar luas seperti Qadiani, Al-Arqam, dan juga kelompok Syiah.

“Kita perlu mengenal pasti perbezaan antara tanda-tanda yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW dengan pengakuan palsu dan karut individu atau kelompok tertentu berhubung dakwaan dirinya sebagai Imam Mahdi.

“Hal ini kerana, mereka sanggup membuat takwilan yang tidak berasas dengan mengaitkannya dengan bangsa Melayu serta mentakwilkan hadis sesuka hati untuk menyokong dakwaan yang dikeluarkan, walaupun ianya jelas menyeleweng dari tafsiran muktabar dalam kalangan ulama,” jelasnya menerusi teks khutbah pada Jumaat.

Justeru, khatib berkata umat Islam perlu sedar dan tidak mengikut anasir dibawa oleh Imam Mahdi palsu.

“Antara ciri-ciri Imam Mahdi yang perlu diketahui adalah menerusi namanya dan juga bapanya yang sama dengan nama junjungan mulia Baginda SAW iaitu Muhammad bin Abdullah.

“Selain itu, nasab Imam Mahdi juga berasal daripada ahlul bait (keluarga Rasulullah SAW) melalui keturunan Saidatina Fatimah Radhiyallahu Anha.

“Dalam pada itu, kita juga boleh melihat berdasarkan ciri fizikal rupa paras Imam Mahdi sebagaimana dinyatakan dalam hadis seperti berdahi luas dan hidungnya mancung.

“Yang seterusnya adalah berkenaan dengan keadaan dunia pada ketika itu telah berlaku kekacauan dan dipenuhi kezaliman serta penindasan.

“Akan tetapi, dia tidak mengaku, mencanang atau melantik dirinya sendiri sebagai Imam Mahdi malah dilantik dan dibaiat oleh umat Islam pada ketika itu,” katanya dalam petikan sama.

Anda Mungkin Berminat