Belanjawan 2025: GLIC akan tingkat pelaburan asing RM120 bilion

Oleh: Haikal Tajuddin

PARLIMEN: Melalui ikhtiar GEAR-uP, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan meningkatkan pelaburan lansung dalam negara sebanyak RM120 bilion bagi tempoh lima tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa peruntukan itu akan merangsang pertumbuhan pengurusan dana tempatan melalui model unit kerjasama co-GP.

“RM120 bilion akan disalurkan ke atas GLIC bagi tempoh lima tahun bermula pada tahun hadapan.

“Menerusi jumlah tersebut, RM500 juta akan mula dilaburkan pada tahun hadapan.

“Hal ini melibatkan lapan sektor utama seperti pusat data, peralihan tenaga dan pembuatan canggih,” katanya.

Dalam ucapan yang sama, beliau yang juga merupakan Timbalan Menteri Kewangan turut mengakui bahawa RM1 bilion juga akan disediakan kepada pelabur bagi menyokong industri semikonduktor tempatan.

“Kerajaan sangat menyokong pembangunan industri unsur nadir bumi (REE) tempatan melalui kerjasama dengan negara seperti China dan Australia yang memiliki keupayaan teknologi,” kata Anwar.

Sebagai langkah awal, kerajaan juga telah bercadang untuk meminda Akta Pembangunan Mineral 1994 selain memulakan pemetaan potensi sumber REE di seluruh negara.

Mengambil contoh individu berjaya dalam ucapan Belanjawan 2025, Anwar telah menyebut nama pengasas BateriKu, Azarol Faizi Zakaria Ansari yang sebelum ini telah mengambil tindakan dengan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan bagi memanfaatkan pembiayaan Dana Perintis di bawah KWAP.

“Kini beliau telah berjaya mengembangkan perniagaan dengan 1.5 juta pelanggan, melatih 1,000 juruteknik GIG dan melahirkan 100 orang usahawan di bawahnya,” ujarnya.