Belanjawan 2025: Kadar gaji minimum naik kepada RM1,700 sebulan

Oleh: Kamilia Ali

PARLIMEN | Kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Februari 2025, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata keputusan tersebut tidak membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja. Bagaimanapun mereka diberi tempoh enam bulan dan perlu membayar gaji minimum terbaharu berkuat kuasa 1 Ogos 2025.

“Kementerian Sumber Manusia juga akan menerbitkan garis panduan gaji permulaan bagi semua sektor pekerjaan untuk rujukan pekerja.

“Umpamanya, gaji permulaan Juruteknik Industri dan Pengeluaran (RM2,290), Jurutera Mekanikal (RM3,380) dan Profesional Pereka Kandungan Kreatif (RM2,985).

“Selanjutnya, Dasar Gaji Progresif ialah ikhtiar Kerajaan MADANI untuk mereformasi pasaran buruh dengan matlamat meningkatkan pendapatan pekerja dan dasar ini sudah mula dilaksana secara rintis pada Jun lalu dan akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada tahun hadapan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dasar Gaji Progresif diperuntukkan RM200 juta dan akan memanfaatkan 50 ribu pekerja.

Beliau berkata demikian dalam Pembentangan Belanjawan 2025 di Parlimen pada Jumaat.

Belanjawan 2025 memberi fokus kepada tiga aspek iaitu “Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat”.

Ini adalah belanjawan ketiga oleh Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.