Hamas Sahkan Yahya Sinwar Syahid

HAMAS pada Jumaat mengesahkan pemimpin utamanya, Yahya Sinwar telah syahid di Gaza ketika mempertahankan bumi Palestin dari penjajah Israel.

Ketua Biro Politik Hamas yang baharu, Khalil Hayyah menerusi satu video mengesahkan Yahya Sinwar, 62, telah terbunuh dalam pertempuran dengan tentera rejim zionis Israel di Rafah, semalam.

“Sinwar telah bangkit sebagai sang syahid yang heroik, beliau terlibat dan berdepan dengan tentera rejim hingga ke saat terakhir dalam hidupnya,” katanya.

Sinwar dilaporkan berada di atas tanah lengkap memakai vest kombat dan bersenjatakan rifel AK-47, bersama dua lagi pejuang Hamas di Gaza ketika mereka syahid pada Khamis.

Hamas menyifatkan Sinwar sebagai seorang wira yang tidak pernah lelah berjuang hingga ke hayatnya terakhir di barisan hadapan medan tempur.

Hamas juga bertegas untuk tidak membebaskan tahanan perang zionis Israel selagi serangan dan penjajahan terhadap bumi Gaza tidak dihentikan.

Sinwar sebelum ini dilantik sebagai ketua biro politik Hamas menggantikan Ismail Haniyeh yang turut dibunuh dalam serangan di Tehran, Iran, pada 31 Julai lalu, disyaki didalangi rejim Israel.

“Kami hormati Sinwar sebagai tahanan, pemimpin dan syuhada.

“Kami tidak akan berputus asa dan bendera (Palestin) tidak akan jatuh,” kata kenyataan Hamas itu.

Anda Mungkin Berminat