Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri, Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menzahirkan ucapan tahniah kepada Presiden Indonesia yang baharu, Prabowo Subianto, yang mengangkat sumpah pada Ahad.
Ucapan itu dizahirkan menerusi poster khas di laman Facebook Sultan Ibrahim yang turut memaparkan gambar Seri Paduka Baginda dan Prabowo berjabat tangan.
Prabowo, 73, mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia bagi penggal 2024-2029 di Parlimen Indonesia, yang turut disaksikan pemimpin asing dan wakil khas termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lafaz sumpah di hadapan anggota Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) juga dihadiri tokoh nasional, pemimpin parti politik dan pihak kedutaan.
Prabowo kini memegang jawatan sebagai presiden negara demokrasi ketiga terbesar di dunia berdasarkan populasi, susulan kemenangan Pilihan Raya Presiden 2024 pada 14 Februari dengan memperoleh 59 peratus undi.
Prabowo, bekas jeneral dan menteri pertahanan, menjadi presiden ketiga yang berlatar belakang ketenteraan selepas Soeharto dan Susilo Bambang Yudhoyono.
Beliau juga mencatat sejarah sebagai presiden tertua di Indonesia ketika dilantik, mengetepikan Presiden ketiga, BJ Habibie yang dilantik pada usia 61 tahun.