90 minit tidak cukup Ketua Pembangkang bahas belanjawan – Takiyuddin

Oleh: Hanim Nadia

PARLIMEN | Tempoh 90 minit diperuntukkan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk membahaskan Belanjawan 2025 dipersoal.

Ketua Whip Pembangkang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mempersoalkan perkara itu berkata, merujuk kepada amalan terdahulu khususnya ketika pihaknya menjadi kerajaan pada 2021, Ketua Pembangkang ketika itu mendapat temph 120 minit untuk berbahas.

“Saya dah bertanya kepada bekas speaker mengenai perkara ini. Secara dasarnya jika menteri kewangan mengambil masa dua jam untuk bentangkan belanjawan, ketua pembangkang juga diberikan tempoh masa yang sama.

“Ketimbang yang dulu diberikan dua jam, sekarang ini 90 minit. Saya berharap ketua pembangkang akan diberikan masa yang sama (seperti) masa yang diambil oleh menteri kewangan semasa membentangkan belanjawan ini,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md Nor memutuskan supaya tempoh masa yang diberikan itu kekal dan permohonan Takiyuddin ditolak.

“Saya lihat ini adalah isu masa, pertimbangan masa untuk berucap permohonan lebih waktu.

“Tetapi kalau lihat rekod yang ada pada dewan, pada tahun lalu juga ketua pembangkang diberikan masa 90 minit untuk berbahas. Jadi tidak dapatlah saya nak putuskan dua jam lebih itu.

“Pada pembentangan belanjawan terakhir (tahun lalu) sebelum ini, ketua pembangkang diberikan 90 minit, habis,” tegasnya.

Anda Mungkin Berminat