Bekas vokalis Nidji dilantik timbalan menteri kebudayaan

Oleh: Kamilia Ali

JAKARTA: Bekas vokalis kumpulan Nidji, Giring Ganesha dilantik Timbalan Menteri Kebudayaan dalam Kabinet Merah Putih yang diterajui Presiden Prabowo Subianto.

Pengumuman pelantikan tersebut dibuat secara langsung oleh Presiden Prabowo ketika mengumumkan barisan Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet Merah Putih di Istana Merdeka pada Ahad lalu.

Giring Ganesha akan memegang tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Kebudayaan, bekerjasama dengan Fadli Zon yang dilantik sebagai Menteri Kebudayaan dan pelantikan secara rasmi diadakan pada Isnin.

Sementara itu, Giring mengakui walaupun memilih untuk meninggalkan dunia nyanyian demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada politik, dia tetap merindui saat-saat mencipta muzik.

Penyanyi kelahiran Jakarta ini juga mengakui, membuat keputusan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah kerana kedua-dua bidang itu memberikan makna yang mendalam dalam hidupnya.

Giring yang kini berumur 41 tahun, pernah bersama kumpulan Nidji mencipta nama sebagai salah satu kumpulan muzik paling berpengaruh di Indonesia sekitar tahun 2002.

Beberapa lagu hits Giring bersama Nidji termasuk “Arti Sahabat”, “Jangan Lupakan”, dan “Laskar Pelangi”.