Ulasan | Ramai majikan sakit jantung pengumuman gaji minimum

Oleh: Norizan Sharif

Saya nak cadang, kenaikan gaji minimum dibuat melalui satu undang-undang atau peraturan bersifat jangka panjang.

Dengan cara ini, majikan dapat merancang dan lebih bersedia. Walaupun usahawan kita nampak sihat, boleh terbang ke sana sini, sebenarnya ramai majikan sakit jantung, elakkan buat pengumuman mengejut.

Di New Jersey, sebagai contoh, undang-undang menentukan gaji minima dinaikkan setiap tahun bermula 2011.

Kita juga boleh membuat perkara yang sama. Berikut ialah cadangan saya.

Mulakan pada tahun 2025 gaji minima RM1,600 iaitu kenaikan sebanyak 6.6 peratus berbanding tahun sebelum ini.

Setiap tahun sehingga lima tahun, naikkan gaji minima sebanyak 6.6 peratus. Dalam tempoh lima tahun, semua pekerja akan dapat gaji sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan.

Setiap tahun, majikan tahu gaji minimum. Mereka boleh merancang kewangan masing-masing.

2025 – RM1,600

2026 – RM1,696

2027 – RM1,797

2028 – RM1,904

2029 – RM2,018

Saya cadangkan 6.6 peratus sebab itu ialah dua kali ganda kadar inflasi kita. Saya fikir majikan mampu dengan kenaikan berkala ini. Saya percaya, tanpa undang-undang pun, bisnes kecil naikkan gaji staf antara 7 peratus hingga 15 peratus setahun. Ada yang lebih dari itu.

Saya cadang kecualikan bisnes mikro/kecil dengan pendapatan di bawah RM500,000 setahun dari peraturan gaji minimum.

Untuk mengelakkan kenaikan gaji minimum menjadi bahan permainan politik setiap kali kerajaan bertukar, jadikan ia undang-undang.

YAB Perdana Menteri, saya mohon mencadangkan.

*** Penulis adalah Ketua Pegawai Eksekutif Enerscorp International di Amerika Syarikat dan kini giat membantu syarikat pemula meneroka pasaran di sana