14 rangkaian pengedar aksesori telefon tiruan diserbu KPDN

Oleh: Kamilia Ali

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melakukan serbuan ke atas 14 buah premis yang disyaki menjual pelbagai jenis aksesori telefon bimbit tiruan pada minggu lalu.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN memaklumkan, serbuan tersebut dijalankan secara berasingan di sembilan buah negeri iaitu di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Perak, Pahang, Kedah dan Pulau Pinang.

Katanya, kesemua premis terbabit disyaki membekalkan aksesori telefon bimbit tiruan dengan berselindung di sebalik syarikat yang membekalkan aksesori telefon asli.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas semua premis terbabit, pegawai penguatkuasa menemukan sejumlah 2,600 unit pelbagai jenis aksesori telefon bimbit yang disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah di bawah Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815).

“Kesemua aksesori telefon bimbit tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain disita bagi tujuan siasatan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM65,000,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, 13 kertas siasatan dibuka kerana didakwa melakukan kesalahan di bawah subseksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai milikan perdagangan apa-apa barang dengan cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

Sementara itu, operasi yang dilakukan adalah berdasarkan hasil aduan diterima daripada wakil pemilik cap dagangan berdaftar yang berkaitan serta risikan awal yang telah dilakukan oleh pihak KPDN.

Justeru, KPDN ingin memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak menjual barangan yang tidak mendapat kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar yang sah kerana ianya merupakan suatu kesalahan yang serius.

Baca juga: