Tuan Ibrahim patut malu, ramai wakil hilang dari radar – KP UMNO Pahang


Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Ketua Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Pahang, Kamil Ibrahim menyelar kenyataan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang mempertikai isu gaji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menegaskan bahawa Tuan Ibrahim yang mempunyai dua jawatan sepatutnya berasa malu sebelum membuat tuduhan tersebut.

“Sepatutnya Tuan Ibrahim, yang ada dua gaji sebagai Ahli Parlimen Kubang Kerian dan ADUN Cheka, patut malu mempertikai hal ini.

“Wakil rakyat mereka ramai makan gaji buta, hilang dari radar dan jarang ada dekat kawasan mereka termasuk beliau sendiri.

“Sudah-sudahlah nak tunggang untuk kepentingan politik. Tiada isu lain ke nak bawa dalam dewan rakyat?” ujarnya di Facebook pada Selasa.

Kenyataan Kamil itu susulan ucapan sinis Tuan Ibrahim dalam Dewan Rakyat yang mempersoalkan bagaimana Anwar mendapat pendapatan jika tidak mengambil sebarang gaji.

Tuan Ibrahim berseloroh, “mungkin dia malaikat kut, tak makan gaji,” dan turut membandingkan Anwar dengan rasul yang juga diberikan rezeki oleh Allah.

Perbahasan tersebut turut melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang menambah bahawa walaupun Anwar tidak mengambil gaji, persoalan elaun dan pendapatan dari sumber lain tetap harus dijelaskan.