Oleh: Kamilia Ali
PARLIMEN: Reformasi institusi tidak hanya berlaku dengan pindaan undang-undang sedia ada tetapi kepada pelaksanaan supaya undang-undang tersebut menjadi lebih efektif, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menurutnya, peranan yang paling penting dalam reformasi tentang perubahan undang-undang ialah ahli-ahli parlimen sendiri selaku wakil rakyat.
“Ini kerana wakil rakyat sekalian yang memang mengetahui proses undang-undang, pindaan, berbahas dan sentiasa akan peka dengan perubahan yang akan dilakukan.
“Saya memberi satu analogi sebagai contoh, kes Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH). Kita dapat mengkaji bahawa bila bercakap tentang kanak-kanak, mereka bukan satu kementerian sahaja yang bertanggungjawab, semua agensi bertanggungjawab.
“Pada mereka (rakyat) yang menjadikan taska, sekolah, akademi apabila menyentuh tentang kanak-kanak, kepekaan mesti ada dalam hak isu undang-undang,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang turut menekankan bahawa undang-undang itu bukan penyelesaian kepada semua masalah, tetapi undang-undang yang ada dalam negara, institusi berubah mengikut pengedaran zaman.
Azalina berkata demikian bagi menjawab soalan dibangkitkan oleh Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) berkaitan isu agenda reformasi institusi ketika Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 hari ini.
Baca juga: