Tiada risiko lubang benam di Klang – Menteri

Oleh: Hanim Nadia

PARLIMEN: Risiko kejadian lubang benam (sinkhole) tidak timbul di kawasan Klang, Selangor kerana kawasan tersebut tidak didasari oleh batu kapur.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menjelaskan, kejadian tanah jerlus yang berlaku di Klang biasanya disebabkan faktor bukan semula jadi seperti kebocoran paip utiliti, masalah sistem perparitan dan kegagalan terhadap struktur tanah.

Justeru itu, katanya, bagi mengelakkan kejadian tanah jerlus disebabkan kebocoran paip utiliti, kementeriannya telah mempunyai garis panduan prosedur pemasangan utiliti jalan Persekutuan.

“Pemasangan utiliti di dalam rizab jalan Persekutuan perlu mematuhi garis panduan dan keperluan teknikal yang sudah disyaratkan, selain pemantauan dan penyelenggaraan secara berkala,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau mengenai perancangan membantu membendung insiden lubang benam di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi, khususnya di kawasan Klang.

Ujarnya, kejadian lubang benam sepatutnya boleh dibendung melalui pemeriksaan dan perancangan awal.

Mengulas lanjut, Nanta Linggi berkata, kementeriannya bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan di seluruh negara termasuk Laluan Persekutuan 5 (FT5) yang terletak di dalam kawasan Parlimen Klang.

Jelasnya, pemantauan dan penyenggaraan secara berkala juga dibuat oleh syarikat konsesi yang dilantik oleh Kementerian Kerja Raya bagi memastikan jalan dalam keadaan baik termasuk sistem perparitan.

“Prosedur operasi standard (SOP) adalah termasuk melaporkan kerosakan sistem perparitan seterusnya tindakan pembaikan.

“Dalam masa yang sama Kementerian juga akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat utiliti yang berkaitan bagi memastikan keadaan jalan Persekutuan yang diselenggara oleh JKR selesa dan selamat untuk digunakan oleh pengguna jalan raya,” jelasnya.

Anda Mungkin Berminat