Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Deepavali 2024 yang bermula dari 28 Oktober hingga 3 November 2024.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan bahawa sebanyak lapan jenis barangan yang akan dikawal di bawah skim ini.
“Antara barangan yang dikawal adalah daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, kelapa biji (harga maksimum di peringkat borong sahaja), kelapa parut (harga maksimum di peringkat runcit sahaja), bawang merah kecil (India) termasuk ros, bawang merah besar import dan kacang dal (Australia).
“Senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti faktor permintaan serta penawaran, kos semasa, cuaca, kadar upah dan lain-lain,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau turut berkata, SHMMP Deepavali 2024 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 selain membolehkan penentuan harga dibuat.
“Harga maksimum yang telah ditetapkan untuk SHMMP Deepavali 2024 di peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman web KPDN di www.kpdn.gov.my,” jelasnya.
Selain itu, penentuan harga ini dibuat dengan mengambil kira pandangan daripada rakan strategik KPDN iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi-agensi kerajaan dan pemain industri.
Justeru, kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.
Baca juga:








