Oleh: Kamilia Ali
BRUNEI: Malaysia menawarkan khidmat Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke negara-negara ASEAN yang mengalami kesan bencana yang teruk.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa SMART adalah satu-satunya pasukan elit penyelamat dari ASEAN dan pasukan kedua di Asia selepas Jepun.
“Saya telah berkongsi pendirian bahawa Malaysia komited dalam memperkukuh daya tahan bencana melalui inisiatif bersifat tempatan dan serantau.
“Ini termasuk Dasar Pengurangan Risiko Bencana 2030 serta program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) yang melibatkan kumpulan rentan seperti wanita, warga emas dan orang kurang upaya.
“Dasar dan program ini jelas menunjukkan komitmen dan tindakan Malaysia terhadap pengurusan risiko bencana dengan tumpuan terhadap mitigasi risiko,” jelas Zahid dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, beliau mewakili Malaysia pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) kali ke-12 di Brunei, Darussalam pada Khamis.
Pada mesyuarat itu, Zahid turut menyatakan usaha negara mengadaptasi penggunaan teknologi dalam pengurusan bencana.
“Melalui Program Ramalan dan Amaran Banjir Nasional (PRABN), yang mampu meramalkan banjir sehingga tujuh hari lebih awal dan mengeluarkan amaran kepada orang awam dalam tempoh 48 jam, ia merupakan salah satu inovasi penting dalam mempertingkatkan kecekapan tindak balas bencana.
“Usaha ini turut diperkukuh dengan pelaburan besar dalam infrastruktur kritikal bagi memastikan perkhidmatan penting terus beroperasi ketika bencana,” ujarnya.
Secara dasarnya, Malaysia akan terus teguh bersama dalam pengurusan risiko bencana dan AMMDM ke-12 ini membuktikan lagi komitmen kebersamaan Malaysia untuk meningkatkan daya tahan bencana di seluruh rantau ini.
Baca juga: