Malaysia kecam serangan Israel ke atas Iran

Oleh: Kamilia Ali

PUTRAJAYA: Malaysia menyelar sekeras-kerasnya serangan oleh rejim Zionis Israel ke atas Republik Islam Iran, terutamanya di bandar Tehran, Karaj, Kashan, Mashhad dan Shiraz pada awal pagi Sabtu.

Serangan tersebut merupakan pelanggaran jelas ke atas undang-undang antarabangsa dan menjejaskan kestabilan serantau.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra), Malaysia menggesa agar tindakan permusuhan dihentikan serta-merta dan kitaran keganasan ditamatkan.

“Tindakan berterusan Israel tanpa sebarang hukuman, telah dan akan menjejaskan keselamatan dan kestabilan masa depan Timur Tengah, membawa rantau tersebut ke ambang konflik yang lebih meluas.

“Kedutaan Malaysia di Tehran sedang memantau dengan teliti perkembangan ini dan setakat ini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas oleh serangan ini,” menurut kenyataan itu lagi.

Semua rakyat Malaysia di Iran dinasihatkan supaya bertenang, berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini serta panduan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan.

Berdasarkan skala serangan, jumlah yang terkorban dan tahap kerosakan masih ditentukan.

Malaysia turut menzahirkan rasa takziah dan simpati kepada kerajaan dan rakyat Iran, khususnya kepada mangsa dan keluarga yang terjejas akibat serangan tersebut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat