Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Malaysia mengecam keras tindakan Parlimen Israel meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) yang mengharamkan operasi Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di Baitulmaqdis, Tebing Barat dan Gaza.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Wisma Putra, tindakan itu disifatkan sebagai serangan langsung ke atas agensi kemanusiaan antarabangsa dan melanggar norma undang-undang antarabangsa.
“Kami mengutuk langkah ini sebagai penghinaan terhadap masyarakat antarabangsa serta usaha kemanusiaan UNRWA,” kata kenyataan itu.
Malaysia menegaskan bahawa Israel tidak memiliki hak atau kedaulatan ke atas wilayah Palestin yang dijajah, termasuk Baitulmaqdis.
Kehadiran UNRWA adalah berdasarkan mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
UNRWA telah membantu lebih 5.9 juta pelarian Palestin dengan menyediakan sokongan dalam bentuk pendidikan, rawatan kesihatan dan bantuan kemanusiaan sejak sekian lama.
RUU Israel itu dilihat sebagai percubaan untuk menghalang pelarian Palestin daripada kembali ke tanah air mereka, selaras dengan Resolusi 194 PBB dan memperburuk keadaan kemanusiaan di Gaza.
“Ini bukan sekadar cubaan untuk melumpuhkan perkhidmatan kritikal kepada rakyat Palestin, tetapi juga strategi kejam untuk mendatangkan kebuluran kepada mangsa konflik,” tambah Wisma Putra.
Malaysia komited untuk terus menyokong UNRWA dan menggesa masyarakat antarabangsa bertindak tegas demi melindungi hak rakyat Palestin serta menghentikan kekejaman berterusan di wilayah itu.