Pengikut GISBH didakwa perdagang 10 kanak-kanak

KLANG: Seorang pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memperdagangkan 10 kanak-kanak berusia lapan tahun bulan lalu.

Tertuduh, Asmat@ Asmanira Muhamad Ramli, 44, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan di Mahkamah Sesyen Klang pada Rabu, lapor Malaysia Gazette.

Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu didakwa memperdagangkan 10 kanak-kanak berusia lapan tahun bagi maksud eksploitasi di Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari, Kampung Melayu Subang, Shah Alam, pada 11 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan turut dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan sebatan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi, manakala tertuduh diwakili peguam Muhd Zaim Rosli.

Tiada jaminan ditetapkan memandangkan kes itu memperuntukkan hukuman maksimum dan tertuduh masih dalam tahanan Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Mahkamah menetapkan 13 Disember depan sebagai tarikh sebutan kes serta serahan dokumen.

Sementara itu, seorang lagi pengikut GISBH, Mahani Kassim, 54, didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mengambil bahagian dalam pengurusan pusat jagaan tidak berdaftar di Bandar Bukit Raja, di sini, bulan lalu.

Tertuduh, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid.

Mengikut pertuduhan, wanita tersebut didapati mengambil bahagian dalam pengurusan pusat jagaan tidak berdaftar dikenali sebagai Pusat Pertubuhan Kebaikan dan Pendidikan Al-Mahabbah, Jalan Zafin SD, Bandar Bukit Raja, di sini, kira-kira jam 6.30 pagi pada 11 September lalu.

Wanita itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5(1) Akta Jagaan Kanak-kanak 1993 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(2) akta yang sama.

Akta berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh juga boleh dikenakan denda tambahan harian tidak melebihi RM1,000 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu berterusan.

Prosiding itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nadia Syuhada Rosli, manakala tertuduh diwakili peguam Muhd Zaim Rosli.

Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh masih dalam tahanan Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Majistret seterusnya menetapkan 13 Disember ini sebagai tarikh sebutan kes serta serahan dokumen.

Anda Mungkin Berminat