Oleh: Kamilia Ali
BEIRUT: Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati, berharap gencatan senjata dan hubungan kemanusiaan dengan Israel dapat disegerakan.
Beliau juga memaklumkan bahawa wakil khas Amerika Syarikat (AS), Amos Hochstein, dalam perbualan telefon semalam memberi isyarat positif bahawa gencatan senjata antara Israel dan Hizbullah mungkin dapat dicapai sebelum Pilihan Raya Presiden AS pada 5 November ini.
“Panggilan telefon hari ini (Rabu) bersama Hochstein menunjukkan kepada saya bahawa mungkin kita dapat mencapai gencatan senjata dalam beberapa hari, sebelum 5 November (pilihan raya presiden AS).
“Kami sedang berusaha sebaik mungkin untuk mencapai gencatan senjata dalam beberapa jam atau hari,” kata Mikati dalam satu wawancara yang disiarkan oleh stesen penyiaran Lubnan, Al-Jadeed.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller, bersama Amos Hochstein dilaporkan sedang menuju ke Israel untuk membincangkan syarat-syarat gencatan senjata dengan Hizbullah.
Pemimpin baharu Hizbullah, Naim Qassem, menyatakan bahawa kumpulannya bersedia menerima gencatan senjata di bawah syarat yang wajar yang masih belum diketengahkan.
Dalam pada itu, Mikati berkata, Hizbullah kini tidak lagi mengaitkan gencatan senjata di Lubnan dengan gencatan senjata di Gaza, namun kumpulan tersebut menerima kritikan atas kelewatan dalam mengubah pendirian tersebut.
Terdahulu, Hizbullah sering menegaskan bahawa mereka hanya akan menghentikan serangan terhadap Israel jika gencatan senjata di Gaza dapat dicapai.
Di samping itu, Mikati turut menyatakan bahawa gencatan senjata ini akan dikaitkan dengan pelaksanaan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertujuan menamatkan konflik 2006 antara Israel dan Hizbullah.
Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701 menetapkan bahawa hanya tentera Lubnan dan pasukan pengaman PBB dibenarkan berada di selatan Lubnan, serta menuntut pengunduran pasukan Israel dari wilayah tersebut.