KUANTAN: Setiausaha Politik, Datuk Farhan Fauzi telah mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni masyarakat Kampung Chengal Lempung di Balai Raya Chengal Lempung, di sini pada Ahad.
Kesempatan itu digunakan untuk melihat sekitar kawasan kampung yang bakal menikmati pembangunan hasil peruntukan sebanyak RM2.5 juta yang telah diluluskan oleh Perdana Menteri.
Peruntukan itu bertujuan memperkasa komuniti setempat dengan memberi fokus kepada infrastruktur, pendidikan dan kebajikan penduduk.
Antara projek yang bakal dibangunkan dan sedang dalam pembinaan adalah gelanggang futsal bertutup dan bangunan serba guna Chengal Lempung.
“Moga segala yang dirancang ini akan membawa perubahan positif dan manfaat yang berterusan kepada masyarakat setempat. Insya-Allah,” kata Anwar.
Projek-projek ini diharapkan dapat meningkatkan kualiti hidup penduduk Kampung Chengal Lempung dan menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk komuniti setempat.