Kerajaan bina stadium e-sukan baharu bernilai RM10 juta

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan MADANI akan membina stadium e-sukan baharu bertujuan untuk menyokong dan menggalakkan lagi pembangunan industri berkenaan pada masa hadapan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sejumlah RM10 juta daripada peruntukan keseluruhan RM20 juta diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Belanjawan 2025 akan digunakan bagi tujuan itu.

“Kita ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dalam ucapan pada Belanjawan lepas (18 Oktober), beliau telah umumkan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk e-sukan ini.

“Daripada jumlah berkenaan, RM10 juta akan digunakan untuk dibangunkan stadium khusus untuk e-sukan, manakala bakinya adalah untuk latihan dan juga aktiviti lain berkaitan dengan e-sukan,” katanya selepas menghadiri Peringkat Akhir Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang Malaysia (MPLMY) di Kompleks Sukan EduCity, di sini pada Ahad.

Acara peringkat akhir MPLMY menyaksikan pertembungan antara Vamos (VMS) dan Selangor Red Giants (SRG), disaksikan lebih 2,000 pengunjung.

Sementara itu Ahmad Zahid mengesa ekosistem e-sukan yang semakin berkembang dimanfaatkan kerana ia boleh dijadikan sebagai punca pendapatan.

“Industri e-sukan berpotensi besar untuk dikembangkan melalui program khas Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), termasuk kemahiran seperti kewartawanan dan pengulas, produksi penyiaran, pengurusan pasukan, kejurulatihan, penganjuran acara dan kerja-kerja teknikal,” katanya.

Anda Mungkin Berminat