Anwar lantang bersuara isu Palestin tapi blok pembangkang hampir kosong

PARLIMEN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi ini telah menyampaikan ucapan penting mengenai isu Palestin di Dewan Rakyat, namun kerusi pembangkang kelihatan hampir kosong.

Dalam ucapannya, Anwar menegaskan bahawa Malaysia telah menyediakan satu draf resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mencadangkan agar Israel disingkir sebagai anggota pertubuhan itu sekiranya berlaku perlanggaran undang-undang dan keputusan dalam isu membabitkan Palestin.

Anwar turut menyatakan bahawa Malaysia telah menyertai Kumpulan Teras (Core Group) bagi penyediaan draf resolusi PBB untuk memohon Pendapat Nasihat (Advisory Opinion) Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai obligasi Israel dalam membenarkan aktiviti dan kehadiran PBB di Wilayah Pendudukan Palestin (OPT).

“Sokongan berterusan Malaysia terhadap UNRWA ini agak kritikal dan kita juga mendapat penghargaan daripada Pesuruhjaya Agung UNRWA Philippe Lazzarini yang dizahirkan kepada Menteri Luar dalam sidang PBB lepas,” kata Anwar.

Anwar juga mengutuk tindakan Israel yang melaksanakan genosid di Gaza yang telah mengorbankan lebih 43,204 rakyat Palestin, termasuk 16,500 kanak-kanak, sejak Oktober 2023.

Beliau menegaskan bahawa keganasan ini berlaku dengan dukungan langsung dan tidak langsung dari negara-negara sekutu Israel.

Walaupun ucapan Anwar penuh dengan mesej penting dan tegas, namun kehadiran wakil pembangkang yang terlalu sedikit di Dewan Rakyat menimbulkan tanda tanya mengenai komitmen mereka terhadap isu Palestin.

Anda Mungkin Berminat