Oleh: Shafira Aziz
KONTROVERSI mengenai tindakan sekumpulan ‘jurugambar’ bebas di Menara Berkembar Petronas (KLCC) semakin hangat apabila mereka dilihat tidak serik, malah semakin berani.
Aktiviti mereka terus mendapat perhatian ramai apabila berani menghalang pengunjung yang ingin mengambil gambar sendiri, seolah-olah kawasan tersebut sudah menjadi ‘tapak’ perniagaan mereka.
Meskipun sudah beberapa kali dikecam oleh orang ramai, jurugambar-jurugambar ini tetap beroperasi dan mengenakan caj antara RM5 hingga RM10 untuk sekeping gambar.
Mereka mempertahankan diri dengan menyatakan bahawa tiada paksaan dikenakan kepada pengunjung untuk menggunakan perkhidmatan mereka. Namun, menurut beberapa orang awam, situasi sebenar mencetuskan ketidakpuasan hati yang semakin meluas.
“Isu ‘tukang’ ambil gambar dekat KLCC ni dah lama. Dekat Saloma Bridge pun ada juga geng-geng ambil gambar untuk pelancong. Tapi masih terkawal. Cuma kita ni kadang-kadang rasa macam ‘rimas’ bila geng-geng dorang ni ramai. Ibarat dorang dah pajak tapak dekat situ,” komen Mohd Hazwan, berkongsi pengalaman tentang suasana di lokasi tumpuan pelancong itu.

Pandangan ini turut dikongsi oleh warganet lain seperti DeLegend Prince yang menyatakan, “memang dah tiba masanya untuk pihak berkuasa ambil tindakan. Kawasan tumpuan pelancong sepatutnya bebas daripada gangguan macam ni.”
Rata-rata warganet meluahkan rasa tidak selesa, dengan sesetengah daripada mereka menyifatkan tindakan kumpulan jurugambar tersebut sebagai ‘memalukan negara’ terutama apabila mereka dilihat mengganggu pelancong asing.
“Harap pihak berkuasa angkut diorg tu hantar balik sana. Semak dah berlebih-lebihan sampai berani macam negara sendiri,” ujar Orchids On Line.
Ada yang mencadangkan agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memperketatkan kawalan di kawasan tersebut.
“Terlalu lemah penguatkuasa sama ada DBKL atau Imigresen. Sepatutnya kena letak anggota bertugas dan ada premis jabatan kat situ,” kata Zadi Cycle.

Isu tersebut menimbulkan persoalan tentang tindakan lanjut dari pihak berkuasa.
Sikap berani jurugambar bebas ini terus menjadi buah mulut, dan ramai yang berharap agar kawasan tumpuan pelancong di Malaysia dapat dikawal dengan lebih rapi demi imej negara.
Untuk rekod, ‘jurugambar bebas’ itu menggunakan kamera telefon pintar mereka sendiri dan peralatan pencahayaan tambahan untuk mengambil gambar.
Selepas sesi bergambar, mereka akan menghantar hasil tersebut kepada pelanggan melalui aplikasi Telegram atau Google Drive.